Laman Rasmi Bomba UiTM Malaysia

Friday, September 21, 2007

KEBAKARAN DI RUMAH

APABILA anda berusaha menyelamatkan diri semasa kebakaran, anda perlulah mengambil langkah yang betul dan tindakan yang tepat untuk menyelamatkan nyawa anda dan keluarga. Perbincanganseterusnya akan tertumpu kepada langkah yang perlu diambil untuk tujuan tersebut.

Menutup Pintu. Sesetengah keluarga lebih suka membiarkan pintu bilik tidur anaknya di dalam keadaan terbuka semasa anaknya tidur pada waktu malam. Alasannya agar mereka dapat mendengar suara anak mereka. Pintu yang terbuka akan mempercepatkan api, asap dan haba merebak ke dalam bilik-bilik tersebut sekiranya berlaku kebakaran. Oleh yang demikian adalah digalakkan supaya anda menutup pintu semua bilik agar anda mempunyai lebih masa untuk menyelamatkan diri.

Rasa Kepanasan Pintu Sebelum Dibuka. Apabila hendak membuka pintu ruang yang terbakar, anda akan terdedah kepada bahaya daripada haba, asap dan lidah api yang boleh mendatangkan kecederaan. Sekiranya anda terperangkap di dalam bilik semasa kebakaran, sebelum membuka pintu anda hendaklah merasai kehangatan daun pintu, tombol dan bingkai pintu dengan menggunakan belakang tangan. Sekiranya daun pintu atau tombol terasa panas, jangan buka pintu dan carilah jalan keluar alternatif.

Sekiranya daun pintu tersebut tidak panas, anda hendaklah melutut dan melekapkan bahu ke daun pintu terlebih dahulu sebelum membuka pintu secara perlahan-lahan dan berhati-hati. Tindakan ini perlu diambil bagi mengelakkan serbuan lidah api dan asap yang biasanya memenuhi bahagian atas ruang. Jika haba dan asap mula memasuki bilik, tutup pintu rapat-rapat dan tutup semua ruang atau lubang di bawah pintu dengan menggunakan tuala, cadar, selimut dan apa saja yang terdapat di dalam bilik tersebut.

Menyelamatkan Diri Melalui Tingkap.

Sekiranya laluan utama terhalang oleh api dan asap, anda boleh berusaha menyelamatkan diri melalui tingkap. Sebelum membuka tingkap, pastikan pintu bilik tertutup rapat bagi mengelakkan api dari merebak. Sekiranya anda berada di tingkat satu, cuba turun dengan cara yang selamat bagi mengelakkan kecederaan. Keluarkan kaki dan cuba rendahkan diri lalu keluar melalui tingkap secara membelakang. Bergayut seketika pada sisi tingkap dan kemudian terjun.

Anak-anak boleh dikeluarkan dengan cara menghulurkan mereka ke bawah sekiranya ada orang yang membantu. Jika tiada, cuba turunkan anak anda ke paras bawah sejauh yang mungkin dengan berhati-hati. Namun begitu, jangan anda terjun dahulu dan meninggalkan anak-anak dengan tanggapan mereka akan mengikut anda. Sekiranya mereka enggan terjun, tindakan susulan sudah terlewat.

Apakah Yang Patut Dibuat Sekiranya Anda Terperangkap.

  1. Sekiranya anda berada di paras melebihi tingkat satu, anda tidak boleh menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap kecuali turun menggunakan tangga, melalui beranda, pokok, garaj kereta ataupun tunggu sehingga ketibaan anggota Bomba untuk menyelamatkan anda.
  2. Sekiranya tingkap boleh dibuka, buka sedikit di bahagian atas dan bahagian bawah tingkap. Dengan berbuat demikian udara bersih akan masuk melalui bawah dan asap akan keluar melalui bahagian atas yang telah dibuka.
    Tutup ruang-ruang di bawah pintu dengan menggunakan cadar, selimut, tuala dan sebagainya bagi mengelakkan asap masuk ke ruang bilik.
  3. Sekiranya terdapat telefon atau telefon bimbit di dalam bilik, segeralah hubungi Bomba atau jiran terdekat. Maklumkan kedudukan anda untuk membolehkan tugas menyelamat dilakukan dengan segera. Beri isyarat dengan berdiri berhampiran tingkap dan suluh dengan lampu picit, atau kibarkan kain berwarna putih/terang agar pasukan penyelamat dapat mengesan kedudukan anda.
  4. Merangkak Di Dalam Asap. Semasa kebakaran, udara panas dan asap akan memenuhi ruang atas bilik manakala ada sesetengah gas beracun akan turun ke lantai. Udara yang bersih akan berada di ZON SELAMAT untuk bernafas iaitu di bahagian satu hingga dua kaki (30cm kingga 60 cm) dari paras lantai. Semasa berusaha menyelamatkan diri, jika laluan utama telah dipenuhi asap, cuba cari laluan lain. Sekiranya tiada pilihan, ikut laluan utama dengan cara merangkak dan pastikan kepala berada di paras ZON SELAMAT.
Sekiranya Pakaian Anda Terbakar.

  1. Apabila pakaian anda terbakar, berhenti dan jangan lari kerana ini akan memarakkan api tersebut. Rebahkan diri, tutup muka dengan kedua belah tangan dan berguling di atas lantai bagi rnemadamkan api tersebut. Anak-anak anda perlulah diajar cara tersebut dan hendaklah dilatih selalu.
  2. Jika anda melihat orang lain terbakar, bantulah mereka. Sekiranya mereka tidak merebahkan diri, anda hendaklah merebahkan mereka atau selimutkan dengan kain gebar (selimut) atau guni basah bagi memadamkan kebakaran tersebut.
Bantuan Kecemasan Kecederaan Kebakaran.

  1. Melecur Darjah Pertama Kelecuran sedikit yang melibatkan kebakaran kulit di bahagian luar sahaja.
  2. Melecur Peringkat Kedua Kelecuran kulit (blistered skin) yang serius dan memerlukan rawatan segera dari mereka yang terlatih.
    Kelecuran yang lebih serius, menglibatkan tisu-tisu di dalam badan yang memerlukan rawatan kecemasan dari pegawai perubatan dengan segera.
    Untuk melecur darjah pertama dan kedua, sejukkan bahagian melecur dengan mengalirkan air selama 10-15 minit. Langkah ini akan menurunkan suhu permukaan kulit, mengelakkan melecur lebih besar dan mengurangkan kesakitan. JANGAN GUNAKAN AIS.
  3. Untuk melecur darjah ketiga, tutup bahagian yang melecur dengan menggunakan kain yang tidak berbulu. Tunggu sehingga bantuan perubatan sampai. Baringkan mangsa dan jangan buka pakaian kerana ia mungkin terlekat pada bahagian kulit yang melecur.

1 comment:

nadeafu chan said...

apa definisi darjah kelecuran dan aturan 9 atau rules of nine?